Henti boikot Starbucks, McDonald’s, rayu pekerja

Henti boikot Starbucks, McDonald’s, rayu pekerja

Pekerja berkongsi kesusahan mereka akibat kemerosotan jualan yang kesannya melangkaui kerugian korporat akibat boikot berterusan.

Lebih 80% pekerja Starbucks adalah Melayu, menurut Pengasas Berjaya Group Vincent Tan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pekerja dan bekas pekerja Starbucks serta McDonald’s menyeru boikot dihentikan kerana mata pencarian mereka terjejas teruk dengan tindakan itu.

Boikot yang bertujuan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin susulan tindakan ketenteraan berterusan oleh Israel di Gaza sejak 7 Okt, dikatakan menyumbang kerugian bersih RM116.32 juta dialami pemilik Starbucks, Berjaya Corp Bhd (BFood) pada suku terakhir 2023.

Manakala dalam saman terhadap penganjur boikot, McDonald’s Malaysia mendakwa ia mengalami kerugian RM6 juta, termasuk RM1.5 juta untuk pemberhentian pekerja. Saman itu ditarik balik pada Jumaat susulan kejayaan proses mediasi yang dibenarkan mahkamah.

Pengurusan tertinggi kedua-dua entiti perniagaan itu sudah pasti merasai “bahang” akibat boikot yang dilancarkan.

Awal bulan ini, Pengasas Berjaya Vincent Tan menyeru boikot dihentikan dengan berkata ia hanya menjejaskan rakyat tempatan bekerja di syarikat itu yang lebih 80% pekerja Starbucks adalah Melayu.

Kini, tiga pekerja dan bekas pekerja memberitahu FMT boikot itu secara peribadi menjejaskan mereka.

Penuntut hanya mahu dikenali sebagai Erica kehilangan kerja sambilan di Starbucks yang menjadi satu-satunya sumber pendapatannya ketika itu, kerana jualan merudum di premis berkenaan.

“Kehilangan pendapatan secara tiba-tiba amat sukar untuk saya hadapi. Saya dan pekerja sambilan lain yang diberhentikan tidak mempunyai pekerjaan dan duit,” katanya.

Untuk menampung kehidupannya, Erica kini terpaksa mengikuti semua kelasnya secara dalam talian sambil bekerja sepenuh masa di tempat lain.

“Gaji saya sebagai pekerja sepenuh masa sekarang sama dengan gaji sambilan ketika di Starbucks.

“Boikot perlu dihentikan kerana ramai rakyat seperti saya terjejas dan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Pekerja Starbucks sepenuh masa hanya mahu dikenali sebagai Sarah menyokong perjuangan Palestin, pada masa sama terus bekerja di rangkaian kedai kopi itu.

Sarah yakin dengan kenyataan berulang kali syarikat itu yang ia tidak mempunyai kaitan dengan Israel.

“Bagaimanapun, disebabkan boikot saya tidak lagi dapat mempromosikan produk Starbucks secara aktif kepada rakan untuk mengelakkan kecaman,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan bulan lalu, Starbucks Malaysia menafikan menyumbang sebarang keuntungannya kepada negara Yahudi itu atau Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Ia juga berkata induknya, BFood ialah syarikat tersenarai awam Malaysia dan rangkaiannya dikendalikan oleh Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd, pemegang lesen Starbucks Coffee International Inc, sebuah syarikat AS.

Dalam saman baru-baru ini, McDonald’s Malaysia memaklumkan mengalami kerugian RM1.5 juta akibat pemberhentian pekerja.

Sementara itu, Farha (bukan nama sebenar) yang hampir empat tahun bekerja di sebuah cawangan McDonald’s kecewa melihat pekerja diberhentikan kerana jualan merosot.

“Di kebanyakan kedai, termasuk saya sendiri, kira-kira 95% pekerjanya beragama Islam. Jadi, boikot akhirnya membawa kesusahan kepada sesama Islam di Malaysia,” katanya.

Oktober lalu, McDonald’s Malaysia berkata syarikat itu adalah entiti 100% milik Muslim sejak pengambilalihannya pada 2017 oleh Lionhorn Pte Ltd, sebahagian daripada Kumpulan Reza Arab Saudi.

Bagaimanapun, Farha berkata ramai orang Melayu masih percaya McDonald’s Malaysia menyokong Israel. Akibatnya, mereka menjauhi komuniti sendiri yang bekerja di rangkaian itu.

Katanya, hal itu menjejaskan semangat pekerja. “Ramai antara kami sedih dengan keadaan ini.”

Susulan itu, pekerja di cawangannya mula mengumpulkan wang mereka untuk disumbangkan kepada NGO yang memperjuangkan isu Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.