
Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata semua pihak wajar menyerahkan kes berkenaan kepada polis.
“Untuk meredakan keadaan, kita serahkan kepada pihak polis untuk disiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini,” katanya di Facebook.
Semalam, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut mendapati jenayah itu dilakukan seorang lelaki menaiki kereta.
KK Mart terpalit kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah ditemui di sebuah cawangan kedai serbaneka itu tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam serta desakan boikot oleh Pemuda Umno.
Namun, tindakan Akmal itu dikritik pelbagai pihak dan terbaharu, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankannya “stand down” (kembali bertenang) memandangkan tindakan undang-undang berhubung isu terbabit sedang berjalan.
Semalam, Pengasas KK Mart, KK Chai Kee Kan dan isterinya, Loh Siew Mui, yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
Turut didakwa tiga pengarah syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana bersubahat dengan membekalkan stoking terbabit.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Akmal berterima kasih kepada pihak berkuasa yang membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
Walaupun menghormati proses undang-undang, Akmal menegaskan kempen boikot yang digerakkan sayapnya perlu diteruskan sebagai pengajaran “keras” kepada mana-mana pihak mencemarkan kesucian agama Islam.
“Pendirian saya dan seluruh umat Islam tidak akan berganjak untuk kita teruskan kempen #boikotkkmart,” katanya.
Dalam pada itu, PAS yang mengkritik insiden melempar bom petrol itu, menggesa semua pihak tidak mendahului siasatan polis.
“Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu. Jangan ada pihak yang menjadi mangsa persepsi sebelum siasatan menyeluruh dilakukan pihak polis,” kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.