
Menteri ekonomi berkata, Puad tetap tidak puas hati terhadapnya walaupun Malaysia menjadi negara kaya.
“Orang politik yang bising sangat Puad Zarkashi sahaja, dia ini kalau Malaysia kaya-raya pun dia tak setuju dengan saya…saya bawa isu 1MDB masa dia pengarah Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas).
“Dia kalah pilihan raya dan terpelanting dari kerajaan, ia bersifat ‘personal’, yang bising tokoh politik kerana ‘personal’,” katanya kepada pemberita.
Rafizi berkata, disebabkan itu beliau tidak mengambil pusing komen individu seperti Puad.
“Sebab itu saya tak pernah jawab, ini kali pertama saya komen Puad, seronok dia duduk Batu Pahat, tulis Facebook, gini-gini (begini-begini).
“Sebabnya, apa yang menjadi taruhan adalah lebih besar daripada komen satu, dua orang personaliti, kestabilan fiskal nasional dan bantuan kepada puluhan juta rakyat,” kata Rafizi.
Puad sering menyerang Padu dan Rafizi, mendakwa ia gagal kerana sistem kerja, komunikasi dan imej Rafizi yang tidak diyakini rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu mendakwa, kegagalan Padu disebabkan “karma” Rafizi menyerang bekas perdana menteri Najib Razak berkait 1MDB.
Sebelum ini, turut dilaporkan pelanggaran dan kebocoran data berleluasa ketika ini menjadi punca utama kerajaan Sarawak mengarahkan pendaftaran Padu di negeri itu ditangguhkan.
Menjawab perkara itu, Rafizi berkata apa ditimbulkan kerajaan Sarawak “diperbesar-besarkan”.
“…ketika keputusan untuk membangunkan Padu telah melalui proses antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, diluluskan dalam Majlis Statistik dan Data Negara dipengerusikan TPM II (Fadillah Yusof) yang dari Sarawak.
“Dan majlis ini diwakili menteri-menteri besar (termasuk premier Sarawak) dari seluruh negeri dan dibentang tahun lepas, tiada isu dia sokong sepenuhnya. Kemudian ia turut dibentang dalam mesyuarat menteri-menteri besar disokong sepenuhnya,” katanya.