
Pencalonan untuk jawatan presiden ditutup pada 12 tengah hari tadi dengan bekas speaker Dewan Negara itu menjadi satu-satunya ahli parti yang menyerahkan borang pencalonan.
MIC akan mengadakan pemilihannya bagi penggal 2024-2027 pada 12 April.
Bekas Ahli Parlimen Kota Raja itu pertama kali dipilih sebagai presiden MIC pada Julai 2018, selepas Barisan Nasional (BN) gagal menjadi kerajaan persekutuan.
Pada Perhimpunan Agung MIC ke-77 November lepas, parti itu sebulat suara meluluskan resolusi menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden ditandingi pada pemilihan parti 2024.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, resolusi itu diluluskan selepas beberapa usul dikemukakan pada peringkat negeri, termasuk di Pahang dan Perak.
Ketika mengumumkan Vigneswaran mengekalkan jawatan tertinggi parti itu, Saravanan berkata, beliau ialah individu kedua yang berkhidmat sebagai presiden MIC selama tiga penggal selepas mendiang S Samy Vellu.
Sementara itu, Vigneswaran berterima kasih kepada ahli MIC kerana membenarkan beliau berkhidmat sebagai presiden untuk satu penggal lagi, dan menggesa mereka memastikan Saravanan kekal sebagai timbalannya.
“Hanya (Saravanan) boleh jadi timbalan saya,” katanya.
Mengenai perkara berasingan, Vigneswaran berkata, MIC tidak akan menuntut untuk bertanding pada PRK bagi kerusi Kuala Kubu Baharu, Selangor, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong.
“(Kerusi itu) bukan milik kami pun pada asalnya, jadi mengapa kami perlu tuntut (bertanding)?
“Kami bukan parti yang mementingkan diri sendiri. Kita berada dalam gabungan (kerajaan) sekarang, jadi kita akan pastikan (kerajaan gabungan) menang,” katanya.
Lee, yang telah menjadi Adun Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal, meninggal dunia minggu lepas, akibat kanser.