Tengku Zafrul letak jawatan bendahari Umno Selangor

Tengku Zafrul letak jawatan bendahari Umno Selangor

Tengku Zafrul Aziz mahu memberi laluan kepada individu yang boleh menyumbang lebih efektif terhadap kebangkitan Umno di Selangor.

Tengku Zafrul Aziz akan terus menjalankan tugas selaku ketua bahagian Kota Raja dan ahli MKT Umno.
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz meletak jawatan bendahari Umno Selangor bagi memberi laluan kepada individu yang boleh menyumbang lebih efektif terhadap kebangkitan parti di negeri itu.

Beliau berkata, ketika dilantik bendahari Umno negeri pada April 2023, matlamat utamanya ialah menyumbang kepada kebangkitan parti di Selangor.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Malah, lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah beliau akan terus mengetuai Umno Bahagian Kota Raja dan menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Menurutnya, amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak di Selangor kerana tanpa kedudukan kuat di negeri itu, ia sukar digelar parti nasional atau parti bagi masa depan.

“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya dirangka dengan ketetapan sesuai dengan realiti semasa. Keputusan PRN Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas sesuatu perubahan perlu dilaksanakan segera.”

Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandinginya dalam PRN enam negeri pada Ogos 2023, kurang daripada 18%.

Tengku Zafrul berkata, Presiden Umno, Zahid Hamidi dan kepimpinan nasional tidak berhenti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat, tetapi pelaksanaan di Selangor hambar serta tidak sehaluan dengan tema di peringkat pusat.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, kerjasama dengan parti lain juga perlu diperkuatkan, bukannya dilemahkan atas angan-angan masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.