
Hakim Amarjeet Singh memberikan kebenaran kepada Dr Lu Yeow Yuen, 42, minggu lepas, selepas tidak mendapat bantahan peguam negara.
“Kami akan menyampaikan kertas kausa kepada responden sebelum merit kes didengar,” kata peguam cara Lu, Tetuan Wilson Lim, kepada FMT.
Pengurusan kes ditetapkan pada 16 April.
Dalam afidavitnya menyokong permohonan itu, Lu berkata, keputusan MPM bahawa beliau tidak memiliki kelayakan pasca siswazah yang diiktiraf untuk membenarkan pendaftaran bawah Akta Perubatan 1971 terlalu tegas, dan dibuat tanpa alasan yang munasabah.
Katanya, keputusan MPM menolak permohonannya untuk didaftarkan menyalahi undang-undang, tidak rasional dan tidak munasabah, tidak wajar dari segi prosedur, serta tidak seimbang.
“Kesilapan undang-undang yang dibuat dalam keputusan itu memerlukan campur tangan mahkamah. Ini demi kepentingan keadilan dan imbangan kemudahan untuk perintah certiorari dan mandamus dikeluarkan,” katanya.
Lu memohon deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah, terbatal dan tidak berkesan, serta perintah certiorari untuk membatalkannya.
Beliau juga memohon perintah mandamus agar MPM menerima permohonannya untuk berdaftar sebagai pakar bedah saraf mengikut Seksyen 14B Akta Perubatan 1971 dan agar namanya disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Dalam permohonan itu, Lu berkata, beliau pernah berkhidmat di Hospital Kuching, Sarawak, selama tiga tahun mulai 2008, dan diterima sebagai ahli Royal College of Surgeons di Ireland setelah lulus peperiksaan keahlian.
Beliau turut berkhidmat di Hospital Prince of Wales di Hong Kong, dan National University Hospital di Singapura, antara 2011 hingga 2016.
Lu juga pernah bertugas di Hospital Khoo Teck Puat Singapura, sebagai doktor kanan bedah saraf antara 2016 hingga 2019.
Beliau kini bertugas di Hong Kong.
Menurut permohonannya lagi, beliau telah mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada perunding penyelianya, serta pesakit yang menerima rawatan daripadanya di Malaysia, Singapura dan Hong Kong.