Permohonan Najib berkait tahanan rumah didengar April

Permohonan Najib berkait tahanan rumah didengar April

Peguam Najib Razak Shafee Abdullah berkata anak guamnya ingin mendapatkan afidavit tambahan daripada deponen yang kini berada di luar negara.

Bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman yang diringankan di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos, 2028. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib Razak agar kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” yang didakwa dibuat bekas Agong yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.

Peguam Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Amarjeet Singh bahawa Najib ingin mendapatkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya.

Bagaimanapun, beliau berkata deponen afidavit yang dimaksudkan itu tiada di Malaysia dan hanya akan kembali selepas Hari Raya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly meminta peguam menyampaikan afidavit itu sebelum tarikh perbicaraan.

Najib mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum tamat pemerintahannya sebagai Agong.

Pada 2 Feb, lembaga itu mengumumkan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International Najib dikurangkan kepada enam tahun manakala dendanya RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Tidak ada mana-mana bahagian daripadanya yang menyebut ia ditukar kepada tahanan di rumah.

Najib, yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang, dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Bekas perdana menteri itu mahu agar kerajaan melaksanakan “dekri tambahan” yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Mahkamah hari ini juga menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk melakukan pemerhatian terhadap kes itu.

Amarjeet berkata, Badan Peguam, yang diwakili oleh Abhilaash Subramaniam, boleh kembali ke mahkamah jika bekas perdana menteri itu dibenarkan meneruskan cabaran undang-undangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.