Putrajaya tambah peruntukan negeri kepada RM8.9 bilion

Putrajaya tambah peruntukan negeri kepada RM8.9 bilion

Kementerian Kewangan berkata, peruntukan untuk kerajaan negeri itu lebih tinggi berbanding RM8.3 bilion pada tahun lepas dan RM8.1 bilion pada 2022.

Anwar Ibrahim (kanan) bersalam dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sebelum mesyuarat Majlis Kewangan Negara sambil diperhatikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (kiri) dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan). (Gambar Kementerian Kewangan)
KUALA LUMPUR:
Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan keputusan kerajaan persekutuan menambah baik pemberian kepada kerajaan negeri berjumlah RM8.9 bilion tahun ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, peruntukan pemberian itu meningkat berbanding RM8.3 bilion pada tahun lepas dan RM8.1 bilion pada 2022.

Katanya, peningkatan pemberian itu termasuk peningkatan pemberian penyenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion tahun lepas dan pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur serta kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta.

Selain itu, kenaikan pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM200 juta berbanding RM150 juta tahun lepas dan penambahan pemberian khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak serta RM129.7 juta untuk Sabah tahun lepas.

“Peningkatan pemberian kepada perpustakaan dan muzium negeri sebanyak 10% tahun ini.”

Bagi perbelanjaan pembangunan, Kementerian Kewangan berkata, RM39.4 bilion disediakan tahun ini untuk melaksanakan projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada tahun lepas dan RM28.8 bilion pada 2022.

“Kelulusan permohonan kerajaan negeri diberikan berhubung kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.”

Dalam hal ini, katanya, Majlis Kewangan Negara meluluskan pembelian jambatan sementara Bailey menggunakan peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri secara “one-off” bagi tahun ini dan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10% atau RM10 juta, mana lebih rendah.

Katanya, kerajaan Madani bertekad memastikan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat, di mana hasrat itu dizahirkan melalui peningkatan pemberian kerajaan persekutuan serta peruntukan perbelanjaan pembangunan di semua negeri bagi 2023 dan 2024.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan persekutuan komited bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat tanpa mengira etnik, agama atau geografi,” kata Anwar yang juga menteri kewangan dalam kenyataan sama.

Beliau berkata, peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia yang diberikan serentak.

“Walhasil, besarlah harapan saya agar pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat dan merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan.”

Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2024 yang dihadiri menteri besar dan ketua menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.