
Beliau mengakui menerima surat daripada peguam Najib, Shafee Abdullah tetapi isi kandungannya hanya mengenai apa disebut di mahkamah.
“Saya telah menerima surat daripada Shafee pada minggu lepas (iaitu) beberapa hari lepas.
“Saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan,” katanya pada sidang media di pejabatnya.
Semalam, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau menjalani hukuman tahanan rumah.
Dalam permohonan difailkan pada 1 April, Najib mendakwa Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.
Katanya, peguam beliau menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Saifuddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bagi mengesahkan sama ada “dekri tambahan” itu wujud atau tidak.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan beliau tidak melihat “dektri tambahan” berkenaan kerana bukan anggota lembaga tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata akan melihat perkara itu “setakat mana dalam pengetahuannya’.
“Saya pun tidak tahu. Hari ini pun saya ikuti dalam laporan berkaitan addendum (dekri tambahan) dan segala macam. Sudah tentu saya akan respons bila sampai masa, apa perkara dalam pengetahuan kita,” katanya.
Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Layanan istimewa
Sementara itu, Saifuddin menafikan Najib mendapat layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara.
Beliau memaklumkan hanya percaya kenyataan dikeluarkan Jabatan Penjara.
“Saya pakai (kenyataan) Jabatan Penjara sebab (jabatan itu) jaga Najib 24 jam. Jabatan Penjara ada pegawai dan blok khusus untuk itu dan mereka mengawasi Najib seperti ditetapkan di penjara, seperti mana yang lain,” katanya.
Minggu lalu, penceramah Wan Ji Wan Hussin yang baru saja menghabiskan hukuman penjara mendakwa Najib mendapat layanan “sangat istimewa”.