4 pekerja asing cedera disamun di rumah kongsi

4 pekerja asing cedera disamun di rumah kongsi

Polis berkata lima lelaki bersenjata memecah masuk rumah kongsi di Rembau itu sebelum memukul dan merompak mangsa pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Rembau Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 3.50 pagi itu suspek melarikan telefon bimbit dan wang tunai RM3,400 milik mangsa. (Gambar Facebook)
REMBAU:
Empat pekerja warga asing cedera termasuk seorang patah tangan kanan selepas rumah kongsi dihuni mereka di Kampung Senama, Tanjung Keling, di sini, disamun lima lelaki awal pagi tadi.

Ketua Polis Rembau Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata dalam kejadian pada 3.50 pagi itu, kelima-lima suspek yang memakai topeng dan membawa senjata telah memecahkan pintu rumah kongsi tersebut.

“Semua suspek telah bertindak memukul mangsa iaitu tiga warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar berusia antara 21 dan 45 tahun hingga cedera sebelum mengambil telefon bimbit milik tiga mangsa dan melarikan wang RM3,400.

“Pemeriksaan oleh doktor mendapati tiga daripada mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima beberapa jahitan, manakala seorang lagi patah tangan kanan dan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata seorang daripada mangsa bernasib baik apabila telefon bimbitnya tidak diambil suspek kerana disorokkan sebelum menghubungi Biro Keselamatan Kampung untuk meminta bantuan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.