
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, Pejabat Pendakwa Raya Negeri sudah meneliti kertas siasatan dan bersetuju mendakwa suspek utama di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seorang lagi individu, yang juga ditahan sebelum ini, akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Semalam dilaporkan mayat yang ditemui di dalam beg yang ditanam berhampiran sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4 Pedas pada 18 Dis lepas disahkan sebagai Suri Narudin.
Alzafny berkata, mangsa dicam melalui analisis cap jari yang sepadan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan analisis DNA menunjukkan hubungan kekeluargaan yang rapat dengan sampel yang dianalisis.
Susulan penemuan mayat, dua lelaki ditahan di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh 24 jam, dengan suspek utama dipercayai kenalan mangsa.