
“Jangan kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa kita sudah sempurna. Ada keterlanjuran, ada kata-kata kesat, ada kemarahan.
“Maka ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan yang terpancar dari hati nurani dan ini juga yang ingin saya sampaikan kepada seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia seluruhnya iaitu memohon maaf seandainya ada keterlanjuran kata, ada kesilapan bahasa atau yang menyentuh perasaan rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan pentadbiran kerajaan menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindari mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.
“Kita tidak menuntut semata-mata, perakuan dan kepujian, malah teguran dan kritikan membina juga amat diperlukan dalam negara. Negara kita harus memupuk nilai supaya karamah insaniah diperteguh. Sementelahan negara yang kita warisi ini.
“Semua wilayah, semua kaum dan melonjakkannya ke tahap terbaik serta bermaruah. Kita tidak boleh sisihkan malah memusuhi mana-mana kelompok majoriti, minoriti, kaum, agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun,” katanya.
Beliau berkata, kerangka pembinaan bangsa bukan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama persekutuan atau meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.
“Kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan memupuk nilai serta membina negara yang bermaruah. Jangan kita anggap ini sebagai sijil atau peluang untuk meremehkan, menghina mahupun merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain,” katanya.
Anwar mengakhiri perutusannya dengan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan turut menasihati semua pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu, terutama yang pulang ke kampung halaman.