Muhyiddin mahu panel 5 hakim dengar semakan

Muhyiddin mahu panel 5 hakim dengar semakan

Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik berkata terdapat isu undang-undang yang serius melibatkan bidang kuasa Mahkamah Rayuan yang perlu ditentukan.

Muhyiddin Yassin mahu Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan yang membatalkan pembebasannya daripada empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan program Jana Wibawa. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan agar semakannya bagi mengembalikan keputusan membebaskannya daripada empat pertuduhan salah guna kuasa tahun lepas, didengar panel lima hakim Mahkamah Rayuan.

Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik berkata permohonan itu dibuat kepada Penolong Kanan Pendaftar Nurul Azrina Mohamed Yusof pada pengurusan kes hari ini.

Peguam bekas perdana menteri itu bagaimanapun diminta mengemukakan permohonan mereka secara bertulis kepada presiden Mahkamah Rayuan untuk dipertimbangkan.

“Kami akan melakukannya dalam masa terdekat. Terdapat isu undang-undang yang serius mengenai bidang kuasa yang akan ditentukan,” katanya kepada FMT.

Permohonan semakan di Mahkamah Rayuan biasanya didengar oleh panel tiga hakim.

Hisyam berkata Nurul juga telah menetapkan 9 Julai ini untuk pendengaran permohonan semakan.

Kedua-dua pihak diberi masa sehingga 9 Jun untuk memfailkan hujahan bertulis mereka berhubung semakan dan bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan sedang berusaha untuk membatalkan permohonan semakan Muhyiddin atas alasan ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Muhyiddin turut diwakili peguam K Kumaraendran dan Chetan Jethwani manakala Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim mewakili pihak pendakwaan.

Muhyiddin berhujah bahawa keputusan Mahkamah Rayuan, yang diputuskan pada 24 Feb, adalah terbatal kerana ia tidak diberikan bidang kuasa untuk mendengar perkara itu di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang dalam memutuskan bahawa pertuduhan itu cacat.

“Pertuduhan itu tidak jelas. Tiada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan,” kata Hadhariah.

Muhyiddin, presiden Bersatu, didakwa pada Mac tahun lepas atas tuduhan menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021 berhubung program Jana Wibawa, untuk mendapatkan RM232.5 juta bagi partinya.

Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 10 Mac tahun lepas.

Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan dan menggunakan kuasa sedia ada untuk membebaskan bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.