Akta Kerja benar pekerja mohon aturan kerja anjal

Akta Kerja benar pekerja mohon aturan kerja anjal

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata majikan perlu beri alasan andai permohonan ditolak dalam tempoh 60 hari.

Steven Sim berkata pekerja berhak minta daripada majikan pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bertugas, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja.
 Steven Sim berkata pekerja berhak minta daripada majikan pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bertugas, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja.
KUALA LUMPUR:
Pekerja boleh memohon kepada majikan aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari, dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Menerusi hantaran di aplikasi X, beliau menjelaskan permohonan berkenaan perlu diserahkan kepada majikan untuk diberikan maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasannya.

“Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar serta undang-undang perburuhan kita untuk mendukung 3K iaitu kebajikan, kemahiran, keberhasilan pekerja seterusnya meningkatkan daya saing ekonomi negara,” menurut hantaran itu.

Dalam hantaran sama, Sim turut melampirkan Akta Pekerjaan 1955 yang menonjolkan Bahagian XIIC mengenai pengaturan kerja fleksibel.

Menurut Seksyen 60P (1) akta itu, pekerja berhak meminta daripada majikan mereka untuk pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut akta itu, permohonan pengaturan kerja fleksibel di bawah 60Q (1), pekerja hendaklah membuat permohonan di bawah Seksyen 60P secara bertulis dan dalam bentuk atau cara ditentukan ketua pengarah.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada hantaran sebuah portal mengenai pekerja di Singapura kini, boleh memohon bekerja empat hari seminggu, lebih banyak hari bekerja dari rumah, dan masa kerja berperingkat bermula 1 Disember ini.

Perkara itu susulan satu Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Susunan Kerja Fleksibel diumumkan Perikatan Tiga Pihak untuk Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) di negara tersebut, baru-baru ini.

Tafep adalah agensi ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga Manusia, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.