
Pemimpin itu yang enggan dikenali berkata, perasaan marah selepas bertahun-tahun parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dihina DAP menyebabkan perkara tersebut sukar dilakukan.
Katanya, kejadian terbaru pada awal bulan ini apabila Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata beliau menyukai BN, tetapi bukannya MCA.
“Ini satu lagi tamparan kepada kami. Ini soal prinsip, kami tidak patut sertai (kempen PRK Kuala Kubu Baharu).”
Kata pemimpin itu lagi, MCA akan kehilangan rasa hormat dalam kalangan penyokongnya sekiranya parti itu memilih untuk membantu DAP selepas hinaan oleh Loke itu.
“Ini akan menghantui kami dalam pilihan raya akan datang. Kenapa seseorang perlu menyokong parti yang tiada prinsip atau harga diri?”
Pada 19 April lalu, MCA berkata ia tidak akan menyertai kempen PRK pada 11 Mei ini sekiranya calon kerajaan perpaduan bukan dari BN.
Pakatan Harapan Selangor sebelum ini berkata calon yang akan dipilih adalah dari DAP, iaitu penyandang kerusi tersebut.
Malam tadi, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata tindakan MCA itu hanya sementara dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan bertemu pemimpin MCA untuk berbincang perkara tersebut.
Ketika ditanya adakah keengganan MCA berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu menunjukkan parti berkenaan kurang semangat berpasukan, pemimpin MCA itu berkata, ia bukanlah satu isu.
“Ketika ini akar umbi beranggapan kita tidak diperlukan dalam kerajaan perpaduan. Jadi kami tidak kisah apa mereka fikir tentang kami.”