
Hakim Quay Chew Soon membuang tuntutan wanita berusia 27 tahun itu kepada JPN atas sebab kes itu bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Wanita itu mendakwa dia tidak pernah menjadi seorang Muslim dan tidak mengamalkan Islam. Menurutnya, dia dibesarkan oleh ibu angkat yang menganut agama Hindu, selepas ibu kandungnya, seorang Muslim, meninggal dunia.
Hakim bagaimanapun berkata si ibu angkat ada menunjukkan bahawa wanita itu beragama Islam, ketika memohon kad pengenalan untuknya ketika berusia 12 tahun.
“Plaintif berhujah dia dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibu angkatnya dan tidak belajar tentang Islam di sekolah,” kata hakim.
Mahkamah ambil maklum bahawa wanita itu mengikuti dan mengambil kertas Pendidikan Moral apabila menduduki peperiksaan SPM.
“Tidak kira sama ada dia mengamalkan atau mempercayai agama Islam. Sekiranya seseorang itu dilahirman sebagai seorang Muslim, maka di sisi undang-undang dia seseorang yang menganut agama Islam,” katanya.
Menurut Seksyen 2(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang), wanita itu dianggap sebagai seorang Muslim sekiranya ibu atau bapanya menganut Islam, kata Quay.
“Plaintif berhujah JPN tidak mempunyai status agama bapa kandungnya dan tiada maklumat sama ada ibu bapanya berkahwin. Dia berhujah sekalipun bapanya seorang Muslim, dia tak boleh memberikan agamanya kepadanya.