Khazanah, KWSP terajui konsortium ambil alih MAHB

Khazanah, KWSP terajui konsortium ambil alih MAHB

Konsortium Gateway Development Alliance menawarkan RM11 sesaham untuk baki saham yang belum dimiliki mereka.

mahb
MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul di Turki. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA:
Dana kekayaan berdaulat Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerajui konsortium antarabangsa yang menawarkan mengambil alih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam pemfailan bursa hari ini, MAHB berkata konsortium berkenaan, Gateway Development Alliance, menawarkan RM11 sesaham bagi membeli keseluruhan baki 1.12 bilion saham yang belum dimiliki mereka, dalam perjanjian bernilai lebih RM12 bilion.

Dalam kenyataan berasingan, dua syarikat pelaburan berkait kerajaan itu berkata ia berganding dengan Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

Harga tawaran sebanyak RM11 sesaham ini mencerminkan nilai ekuiti sebanyak RM18.4 bilion.

Ia turut mewakili premium pada kadar 15.2% berbanding harga purata berwajaran volum bagi tiga bulan terakhir sebanyak RM9.55 sesaham, selain juga merupakan peningkatan sejak awal tahun sebanyak 49.5% tahun berdasarkan harga penutup RM7.36 sesaham pada 29 Dis 2023.

Sehingga 14 Mei, konsortium itu dan syarikat induknya secara agregat memiliki 41.1% saham MAHB yang diterbitkan.

Sebaik tawaran sukarela prasyarat itu diselesaikan sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikan dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, manakala KWSP daripada 7.9% kepada 30%.

Pelabur Malaysia berkenaan secara kolektif akan memiliki 70% MAHB, manakala ADIA dan GIP masing-masing memiliki baki 30%.

Tawaran rasmi ke atas MAHB adalah tertakluk kepada beberapa prasyarat tertentu dan apabila dilaksanakan akan tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 90% modal saham diterbitkan MAHB oleh konsortium.

“Seandainya syarat-syarat ini dipenuhi, saham MAHB dijangka akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia apabila tawaran ini selesai, yang dijangka akan berlaku dalam suku keempat tahun ini,” menurut konsortium itu.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB, manakala pengerusi serta CEO akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia, menurut kenyataan konsortium berkenaan.

Menurutnya, tiada perancangan untuk memberhentikan pekerja, dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi.

Konsortium itu turut berhasrat menetapkan MAHB di landasan pertumbuhan jangka panjang yang mampan, dengan memfokuskan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan, yang akan menyokong pertumbuhan penumpang dan kargo udara.

“Ini secara langsung akan memberikan manfaat ekonomi yang mampan bukan saja buat MAHB dan pihak berkepentingannya, tetapi juga bagi sektor-sektor perindustrian dan pelancongan di Malaysia dan Turki.

“Konsortium percaya bahawa cara terbaik bagi mencapai objektif ini adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan yang modal, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik, dan 17 terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport).

Ia turut memiliki dan menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Turki.

Saham MAHB kali terakhir diniagakan pada RM10.40 sesaham. Dagangan sahamnya digantung hari ini sebelum pengumuman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.