Tumpu semak imbang, bukan petisyen pilihan raya, pemimpin DAP beritahu PN

Tumpu semak imbang, bukan petisyen pilihan raya, pemimpin DAP beritahu PN

Bagaimanapun, Ng Sze Han mengakui hak memfailkan petisyen PRK Kuala Kubu Baharu termasuk dalam proses demokrasi untuk semua parti.

Ng Sze Han terkejut dengan Azmin Ali yang mahu memfailkan petisyen PRK Kuala Kubu Baharu walaupun berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP ‘menasihatkan’ Perikatan Nasional (PN) memfokuskan tugas sebagai pembangkang dengan memainkan peranan semak dan imbang berbanding menumpukan masa kepada memfailkan petisyen PRK Kuala Kubu Baharu.

Mengakui hak mana-mana parti membawa perkara itu ke mahkamah, Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han bagaimanapun berpendapat PN seharusnya mula bekerja sama seperti pemenang pilihan raya itu Pang Sock Tao.

“Saya rasa eloklah kita tumpukan usaha masing-masing untuk membina ekonomi rakyat seperti PN Selangor selalu laung-laungkan. Pang telah mula bekerja dan pembangkang juga boleh mula bekerja serta menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

“Namun saya agak terkejut Ketua Pembangkang DUN (Azmin) yang sangat berpengalaman dalam politik dan pentadbiran kerajaan mengambil langkah sedemikian (cari bukti untuk fail petisyen PRK Kuala Kubu Baharu),” katanya kepada FMT.

Semalam, Azmin, ketua PN Selangor berkata komponen itu dalam proses mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen terhadap PRK Kuala Kubu Baharu dimenangi Pang pada 11 Mei lalu.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PN PRK Kuala Kubu Baharu dipetik berkata usaha itu membabitkan 16 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang akan mengemukakan hasil dapatan kepada peguam.

Arahan untuk mengumpul bukti untuk mengaitkan sebarang kesalahan PH pada pilihan raya itu dikeluarkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu, Pang menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Pada 6 Mei lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.

Takiyuddin mendakwa, kerajaan perpaduan menyalahgunakan kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK berlangsung.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Pengarah Pilihan Raya PH Steven Sim yang menegaskan gabungan berkenaan mematuhi undang-undang pilihan raya.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abd Ghani Salleh, berkata mana-mana pihak termasuk PN bebas memfailkan petisyen jika mempunyai bukti berlaku kesalahan sepanjang tempoh kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Katanya, petisyen itu harus dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRK 11 Mei lalu diwartakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.