Penyasaran subsidi langkah berani kerajaan, kata Nga

Penyasaran subsidi langkah berani kerajaan, kata Nga

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata kerajaan mengambil kira pelbagai aspek untuk meminimumkan impak tekanan hidup rakyat sebelum memutuskan pelaksanaannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jika kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar, ketirisan akan terus berlaku.
TELUK INTAN:
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung yang dilakukan bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan langkah berani, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai aspek untuk meminimumkan impak tekanan hidup rakyat sebelum memutuskan untuk melaksanakan langkah itu.

“Jika kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar, maka ketirisan akan terus berlaku malah semakin hari semakin serius. Adalah sangat penting untuk kita memperbetulkan kesilapan pada masa silam.

“Kerajaan Madani memilih untuk mengambil sikap dengan penuh tanggungjawab bagi menjamin kelangsungan masa depan negara. Pelaksanaan ini juga dapat menjimatkan RM4 bilion setahun seterusnya dapat digunakan untuk faedah rakyat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menyerahkan bantuan RM1,000 kepada 240 murid kurang berkemampuan daripada 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan parlimen berkenaan.

Anwar pada malam tadi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

Anwar berkata perkara itu bermaksud pengusaha bas, teksi dan nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan serta kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

Menurutnya, penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati kumpulan berkenaan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.