Hormat kerjasama PH, Umno Nibong Tebal tak tuntut kerusi Sungai Bakap

Hormat kerjasama PH, Umno Nibong Tebal tak tuntut kerusi Sungai Bakap

Ketuanya Rashidi Zinol berkata fokus mereka kini untuk mempersiapkan jentera bagi memenangkan calon kerajaan perpaduan.

Rashidi Zinol berkata Umno Nibong Tebal tidak pernah membincangkan secara rasmi untuk letak calon BN pada PRK Sungai Bakap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Nibong Tebal tidak akan menuntut kerusi DUN Sungai Bakap sebaliknya terus menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu atas dasar menghormati rakan gabungan, kata ketuanya Rashidi Zinol.

Rashidi turut membayangkan PH dijangka kekal bertanding mewakili blok kerajaan perpaduan walaupun mengakui ada suara akar umbi parti mahu Barisan Nasional (BN) bertanding bagi merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan FMT, semalam.

“Saya secara peribadi merasakan PH akan kekal bertanding di Sungai Bakap, kita kalau hendak berkawan kena ikhlas dan hormati (PH) rakan.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan parti dalam kerajaan perpaduan untuk buat keputusan, fokus Umno bahagian untuk mempersiapkan jentera memenangkan sesiapa sahaja calon,” kata exco Pulau Pinang itu kepada FMT.

Beliau yang juga Adun Sungai Acheh berkata hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan tidak retak susulan gesaan akar umbi Umno Nibong Tebal mahu BN bertanding dalam PRK Sungai Bakap.

“Umno bahagian secara rasmi tidak pernah bincang meletakkkan calon dalam PRK cuma suara-suara di bawah ada beri pandangan yang kita raikan,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa ada permintaan akar umbi mahu BN bertanding PRK Sungai Bakap sebagai menghargai sumbangan Umno termasuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan terbaharu memenangkan PH pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Langkah itu juga strategi menarik kembali pengundi Melayu yang pada PRN Ogos tahun lalu mengalihkan sokongan kepada PN dengan majoriti 1,563 undi menerusi calonnya Nor Zambri Latiff, menewaskan wakil PH Nurhidayah Che Rose.

Zambri meninggal dunia Jumaat lalu akibat keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun depan bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian.

Semalam, Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dipetik berkata, DAP menyerahkan soal calon kepada PKR yang bertanding di kerusi itu pada PRN lalu.

Sebagai rekod, kerusi itu dikuasai Umno pada PRU 2004 yang empat tahun kemudiannya dirampas Pakatan Rakyat sebelum digantikan PH membabitkan gabungan PKR-DAP-Amanah. Namun, pada PRN lalu PN pula menguasai kerusi itu yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Parlimen Nibong Tebal turut meliputi DUN Jawi dan Sungai Acheh, masing-masing dikuasai PH dan BN.

Berdasarkan rekod SPR untuk PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54% (Cina), 17.39% (India) dan 0.71% lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.