Polis tembak mati 2 lelaki di Hentian Tanjung Malim

Polis tembak mati 2 lelaki di Hentian Tanjung Malim

Polis lepas tembakan balas terhadap suspek yang seorang daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata dua suspek ditemukan meninggal dunia selepas insiden berbalas tembak dengan polis, malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis, di KM396.5 Hentian Sebelah Tanjung Malim arah utara, Perak, malam tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata sebelum kejadian sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPK Perak mengekori sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan, pada 11.32 malam.

Katanya, selepas sedar diekori, suspek bertindak melarikan diri dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

“Polis mengejar suspek sehingga ke Hentian Sebelah Tanjung Malim dan berjaya menghentikan kenderaan suspek.

“Semasa kejadian suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan polis membalas tembakan sehingga keadaan selamat. Pemeriksaan mendapati dua suspek dalam kenderaan tersebut dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Hussein berkata, suspek maut merupakan lelaki tempatan dengan seorang daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah serta dikehendaki polis, manakala seorang lagi identiti masih dikenal pasti.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi IPD Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.