Jun 2025 perbicaraan bekas pembantu saman Anwar berkait serangan seksual

Jun 2025 perbicaraan bekas pembantu saman Anwar berkait serangan seksual

Peguam berkata kedua-dua pihak kini di peringkat pra perbicaraan dan sedang menyediakan dokumentasi.

Yusoff Rawther
Yusoff Rawther mendakwa beliau diserang secara seksual oleh Anwar Ibrahim di rumah pemimpin itu di Segambut pada Okt 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Saman bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther terhadap Anwar Ibrahim berkait dakwaan serangan seksual akan didengar di mahkamah pada tahun depan, menurut peguamnya.

Navpreet Singh berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun untuk perbicaraan itu.

“Ketika ini kedua-dua pihak masih di peringkat pra perbicaraan, menyediakan dokumen perbicaraan,” katanya dalam satu mesej kepada FMT.

Navpreet juga berkata Hakim Johan Lee Kien How akan mendengar kes tersebut.

Yusoff memfailkan saman itu terhadap Anwar pada 2021, mendakwa diserang secara seksual oleh presiden PKR di rumahnya di Segambut pada Okt 2018.

Beliau yang juga cucu tokoh gerakan pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris menuntut antara lainnya ganti rugi teladan, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, kos, dan pelbagai kos atau ganti rugi lain.

Yusoff mendakwa susulan serangan itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik Anwar. Beliau berkata tuduhan itu juga memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.

Anwar menafikan tuduhan itu dan memfailkan saman balas.

Pada bulan lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Yusoff untuk mendapatkan salinan laporan ujian poligraf yang dibuat polis terhadapnya susulan aduannya berkait dakwaan serangan seksual berkenaan.

Hakim berkata laporan itu tidak perlu dan tidak akan membantu keputusan adil dalam saman yang difailkan Yusoff terhadap Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.