
Sumber berkata, seorang calon yang sedang dipertimbangkan adalah Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh, memandangkan beliau memenuhi semua syarat mengikut Perlembagaan.
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan orang yang dilantik sebagai peguam negara mesti juga layak menjadi hakim di Mahkamah Persekutuan, kata sumber itu kepada FMT.
Mengikut Perkara 123 pula, seseorang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan jika beliau ialah warganegara, dan bagi tempoh 10 tahun sebelum pelantikannya, telah menjadi peguam atau anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.
Kes duluan ini dapat dilihat ketika pelantikan Mohtar Abdullah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan selepas bersara sebagai peguam negara pada 2002. Ketika itu, ramai melihat potensi untuk Mohtar dilantik ketua hakim negara.
Bagaimanapun, tidak sampai tiga bulan selepas pelantikannya, Mohtar mengalami strok dan meninggal dunia pada usia 59 tahun, pada 7 Julai 2003.
Sumber itu berkata, satu lagi pilihan sedang dipertimbangkan adalah mencari peguam kanan yang menjadi pengamal undang-undang sekurang-kurangnya 10 tahun, seperti diperuntukkan Perkara 123.
Katanya, kes duluan bagi perkara ini dapat dilihat pada September 2007 ketika peguam Zaki Azmi dilantik hakim Mahkamah Persekutuan, sebelum menjadi presiden Mahkamah Rayuan tiga bulan kemudian.
Zaki yang pernah bertugas di Pejabat Peguam Negara, kemudian dilantik ketua hakim negara pada Oktober 2008 dan bersara tiga tahun kemudian.
“Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman masih berharap seorang hakim Mahkamah Persekutuan akan dilantik untuk jawatan berkenaan,” kata sumber terbabit.
Buat masa ini, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim melaksanakan tugas dan fungsi hakim besar Malaya secara interim, sementara menunggu pelantikan tetap ke jawatan itu.
Hakim Besar Malaya sebelum ini, Zabidin Diah bersara wajib 29 Feb lalu.
Mac lalu, FMT melaporkan suruhanjaya itu mencadangkan calon untuk pertimbangan Jabatan Perdana Menteri. Dua lagi nama turut diserahkan seperti diperuntukkan undang-undang.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, ketiga-tiga individu dicalonkan itu agak junior. Akibatnya, isu pelantikan hakim besar Malaya baharu tiada dalam agenda mesyuarat Majlis Raja-raja terakhir.
Peguam Salim Bashir berkata, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, semua pelantikan hakim untuk jawatan tertinggi badan kehakiman dibuat Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
“Perdana menteri memainkan peranan dalam pelantikan hakim mahkamah tertinggi, sama seperti pelantikan jawatan kanan awam lain di negara ini,” katanya bekas presiden Badan Peguam itu.
Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali berkata, suruhanjaya berkenaan boleh mencadangkan calon, tetapi perdana menteri tidak wajib melantik calon terbabit.
Daripada 10 hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Nallini Pathmanathan paling senior, namun beliau bakal bersara Ogos tahun depan, melainkan pelantikannya dilanjutkan enam bulan. Senioriti itu disusuli Hakim Zabariah Yusof yang bakal bersara April tahun depan dan Hasnah Hashim (Mei 2025).
Hakim Harmindar Singh Dhaliwal bakal bersara Oktober ini, Abdul Karim Abdul Jalil April 2025, Hanipah Farikullah (Mei 2025), Rhodzariah Bujang (November 2027), Vazeer Alam Mydin Meera (Januari 2028), Abu Bakar Jais (Jun 2028) dan Nordin Hassan (Julai 2029).