
Lima lagi yang dikenakan tindakan serupa adalah Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz Hussin, Sazali Justi dan Sallehudin Kasau, lapor Borneo Post.
Presiden Usno Pandikar Amin Mulia berkata tindakan itu diambil di bawah Fasal 49.10 perlembagaan parti, yang memberi kuasa kepada presiden untuk menggantung ahli yang dilihat menjejaskan kestabilan parti.
“Tindakan ini penting bagi mengelakkan parti menjadi kucar-kacir serta memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara teratur,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Kota Kinabalu.
Pandikar berkata penggantungan itu bersifat sementara sementara menunggu siasatan oleh Lembaga Disiplin Pusat berhubung dakwaan pelanggaran disiplin dan perlembagaan parti.
Katanya, individu terlibat akan dipanggil memberi penjelasan.
Kemelut dalaman parti dilihat semakin memuncak apabila Ibrahim bersama beberapa pemimpin parti mendakwa keputusan Pandikar Amin membawa keluar Usno daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat secara bersendirian tanpa persetujuan majoriti kepimpinan tertinggi parti.
Ibrahim berkata majoriti ahli majlis tertinggi (AMT) juga membantah tindakan Pandikar Amin kerana mahu parti itu terus kekal bersama GRS serta terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Pada 22 April lalu, Pandikar Amin mengesahkan partinya meninggalkan GRS kerana tiada lagi keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khasnya selepas PRN Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin mengumumkan beberapa individu yang dilantik sebagai AMT bagi penggal 2025–2028 turut digugurkan.
Pandikar Amin berkata keputusan ini dibuat susulan tindakan pihak tertentu yang didakwa tidak sehaluan dan menjejaskan kestabilan parti ketika krisis dalaman memuncak.
“Semua pemegang jawatan bertanggungjawab menjaga perpaduan parti dan tidak bertindak sehingga menimbulkan perpecahan.
“Tindakan ini diambil bagi memastikan parti kekal stabil dan tidak dipengaruhi oleh tindakan yang boleh melemahkan organisasi,” katanya.
Beliau menambah Majlis Tertinggi akan disusun semula bagi memastikan kepimpinan parti terus berfungsi dengan berkesan, dengan tindakan lanjut akan ditentukan selepas laporan penuh daripada lembaga disiplin diperoleh.