
Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong di Facebook hari ini, pelantikan Faris dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.
Pelantikan beliau dibuat selepas proses pemilihan mengikut adat yang melibatkan pemimpin adat Luak Sungai Ujong.
Pemilihan dibuat mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong.
“Aturan adat menjadikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” kata kenyataan itu.
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika krisis di Negeri Sembilan masih berterusan selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Luak Sungei Ujong, bersama tiga Undang lain mengisytiharkan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilucutkan sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Namun, kerajaan negeri menolak pengisytiharan itu dengan menyatakan bahawa Mubarak sendiri telah pun dilucutkan daripada jawatannya pada tahun sebelumnya.
Krisis politik itu semakin memuncak selepas kesemua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada 27 April, susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri.