Risiko hilang kepercayaan jika terus rebut penyelaras DUN, kata penganalisis

Risiko hilang kepercayaan jika terus rebut penyelaras DUN, kata penganalisis

Rusdi Omar berkata pertelingkahan bagi merebut jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam beri gambaran wakil kerajaan perpaduan hanya mahu menjaga 'periuk nasi' mereka.

ph-bn
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bekerjasama pada PRN yang menyaksikan mereka mempertahankan pentadbiran Selangor.
PETALING JAYA:
Perebutan jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam berisiko menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti kerajaan perpaduan Selangor, kata penganalisis.

Menurut Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), pertelingkahan membabitkan Amanah, Umno dan PKR boleh memberi gambaran yang komponen itu hanya mahu menjaga ‘periuk nasi’ berbanding bekerjasama erat membantu rakyat.

“Kena selesaikan secara baik dan dalaman…jangan fikirkan periuk nasi parti masing-masing sahaja sebaliknya fikirkan masa depan kerajaan perpaduan kalau mahu bertahan lama.

“Kita tengok ada yang hanya nak tunjuk belang masing-masing,” katanya kepada FMT sambil meramalkan kemelut itu akan merugikan Amanah kerana pengaruhnya tidak sekuat PKR dan Umno.

Isu itu tercetus selepas kerajaan negeri melantik Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim sebagai penyelaras DUN Hulu Bernam menggantikan Timbalan Ketua Amanah Hulu Selangor Roslin Md Zin.

Naib Ketua Amanah Hulu Selangor, Mohammad Syafiq Musa, mendakwa difahamkan Isa sepatutnya dilantik penyelaras DUN Batang Kali namun jawatan itu diberikan kepada Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad yang juga setiausaha politik Menteri Besar Amirudin Shari.

Kelmarin, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi, berkata parti itu menuntut semula jawatan terbabit atau penyelaras DUN Batang Kali atau Parlimen Hulu Selangor diberi kepada Amanah sebagai ganti.

Batang Kali dan Hulu Bernam ialah dua DUN bawah Parlimen Hulu Selangor yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Mengikut jawapan sidang DUN Selangor, jawatan penyelaras diwujudkan di kawasan pembangkang bawah Skim Perkhidmatan Singkat (SPS) untuk tempoh bermula lantikan hingga Dewan dibubarkan atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat keputusan sewajarnya.

Bagi Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia, kemelut perebutan jawatan itu jika gagal diuruskan dengan baik berisiko menyebabkan perpecahan lebih besar dalam gabungan kerajaan perpaduan.

“Isu itu boleh dianggap penyesuaian antara komponen parti cuma sejauh mana mereka boleh bertolak ansur apabila perkara berkait kuasa, itu tentukan keutuhan gabungan.

“Sebab dengan jawatan ini banyak faedah dapat dari segi sumber kewangan dan kemudahan anjur program. Jadi pimpinan kena banyak proses rundingan dan dialog untuk cari persamaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.