PRN Sabah: Mustahil elak parti kerajaan perpaduan bertembung

PRN Sabah: Mustahil elak parti kerajaan perpaduan bertembung

Penganalisis berkata kerjasama di Putrajaya membabitkan semua parti kecuali Perikatan Nasional berbeza dengan di Sabah apabila Umno dan Warisan duduk di blok pembangkang.

Sebanyak 60 kerusi DUN Sabah akan menjadi rebutan pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya Disember tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mustahil untuk parti dalam kerajaan perpaduan mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRN Sabah, kata penganalisis politik.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata ini kerana kerjasama di Putrajaya membabitkan semua parti kecuali Perikatan Nasional berbeza dengan di Sabah apabila Umno dan Warisan duduk di blok pembangkang.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) antaranya Shahelmey Yahaya menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Hajiji Noor yang turut disokong Pakatan Harapan (PH) sejak Januari tahun lalu.

“Berdasarkan situasi semasa, pertembungan ‘sesama sendiri’ itu tidak dapat dielakkan.

“Sehingga kini tiada kerjasama politik terjalin secara rasmi di Sabah,” kata Lee kepada FMT sambil menyatakan keadaan itu berlaku lanjutan beberapa episod politik sebelum ini termasuk dalam ‘Langkah Kinabalu’ menyaksikan Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin digugurkan sebagai timbalan ketua menteri.

Beliau mengulas hasrat Naib Ketua PKR Sabah Raymond Ahuar yang mahu semua parti dalam kerajaan perpaduan persekutuan tidak bertembung sesama sendiri sebaliknya bekerjasama pada PRN Sabah dijangka tahun depan.

Sebelum ini, FMT melaporkan kemungkinan kerjasama BN dan PH bagi berdepan PRN Sabah, meneruskan kesinambungan di peringkat persekutuan terjalin sejak 2022.

Memetik sumber, kerjasama itu tidak akan membabitkan GRS dan mungkin turut disertai Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), semuanya menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.

Bilcher Bala juga dari UMS pula berpendapat pertembungan itu dapat dielakkan jika parti dalam kerajaan perpaduan bertanding di kerusi dimenangi yang disifatkannya sukar untuk direalisasikan.

Menurutnya, ini kerana ada banyak kerusi bertindih selain parti mahu bertanding banyak kerusi supaya berpeluang mengetuai pentadbiran kerajaan Sabah selepas pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.