Pemilihan Bersatu: Hamzah, Azmin mungkin tanding jawatan ‘top 2’

Pemilihan Bersatu: Hamzah, Azmin mungkin tanding jawatan ‘top 2’

Sumber berkata Bersatu akan lebih kukuh sekiranya kedua-dua pemimpin itu memegang dua jawatan tertinggi tersebut.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Hamzah Zainudin dan Azmin Ali mempunyai jumlah penyokong yang besar dalam parti.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Hamzah Zainudin dan Azmin Ali dijangka akan bersaing untuk jawatan nombor dua parti itu dalam pemilihan pada Oktober ini.

Sumber berpengaruh dalam parti berkata ramai akar umbi mahukan Hamzah, setiausaha agung Bersatu, sebagai timbalan presiden, manakala Azmin diharap untuk terpilih salah satu daripada dua jawatan naib presiden.

Sekiranya presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, memutuskan untuk berundur, Hamzah akan menggantikannya, sementara Azmin akan mengambil alih sebagai timbalan presiden, tambah sumber itu.

Sumber itu berkata gabungan Hamzah-Azmin dijangka akan memberikan kesan positif kepada parti.

“Dengan dua ‘warlords’ ini bekerjasama, Bersatu akan menjadi lebih kuat kerana kedua-duanya mempunyai pengikut yang sangat besar,” kata sumber itu kepada FMT.

Jawatan timbalan presiden kini dipegang oleh Ahmad Faizal Azumu.

Menurut sumber itu, pendapat dalam kalangan ahli secara umumnya bersetuju Hamzah, Azmin, dan Faizal bertanding untuk jawatan tertinggi.

“Bagaimanapun, untuk mengelakkan perpecahan dan konflik, majlis tertinggi bersetuju memberi mandat kepada Muhyiddin untuk memanggil ketiga-tiga mereka untuk mencapai kompromi.”

Pada Minggu lalu, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju bahawa Muhyiddin akan kekal sebagai presiden selepas pemilihan parti.

Pada 5 April, Hamzah berkata beliau tidak akan bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi tanpa restu Muhyiddin.

Mengenai prospek Faizal, sumber berkata bekas menteri besar Perak itu kurang mendapat sokongan kuat daripada akar umbi kerana beberapa ‘kegagalan’.

“Ini termasuk kekalahan Tambun dalam pilihan raya umum yang lalu, prestasi sebagai menteri belia dan sukan, dan kepimpinan yang lemah ketika mengetuai Bersatu Negeri Sembilan,” kata sumber itu.

Faizal tewas di kerusi parlimen Tambun kepada Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum yang lalu dan digugurkan sebagai ketua Bersatu Negeri Sembilan pada awal tahun ini.

Sumber itu juga berkata Faizal telah membuat “beberapa kenyataan kontroversi”, tetapi tidak memberi butiran lanjut.

Bagaimanapun, kata sumber, Faizal masih menjadi figura penting dalam Bersatu.

“Beliau telah melakukan banyak kerja untuk parti dan sumbangannya mesti dihargai, tetapi ramai yang masih tidak pasti di mana hendak meletakkan beliau.

“Buat masa ini, Muhyiddin, Hamzah, dan Azmin adalah orang terbaik untuk memimpin parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.