Muhyiddin lepas jawatan pengerusi PN langkah bijak, kata veteran Bersatu

Muhyiddin lepas jawatan pengerusi PN langkah bijak, kata veteran Bersatu

Redzuan Yusof berkata peletakan jawatan Muhyiddin Yassin bagi meredakan pemberontakan dalaman Bersatu sambil mengalih beban kepimpinan gabungan itu kepada PAS.

Redzuan Yusof and Muhyiddin Yassin
Bekas menteri Kabinet Redzuan Yusof berkata dengan melepaskan jawatan pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menghalang kemelut Perlis menjadi isu nasional.
PETALING JAYA:
Peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan “tindakan bijak yang tidak dijangkakan sesiapa”, kata pengasas bersama Bersatu, Redzuan Yusof, sambil menyifatkannya “langkah dirancang” yang mengejutkan rakan sekutu serta pengkritik.

Beliau menolak dakwaan keputusan bekas perdana menteri itu didorong kemelut politik di Perlis baru-baru ini, sebaliknya menegaskan Muhyiddin telah lama bergerak mengikut “rancangan lebih besar”.

“Dengan berundur sebagai pengerusi PN, Muhyiddin berjaya menghalang kemelut Perlis menjadi isu nasional. Pada masa sama, beliau telah meneutralkan cubaan ‘pemberontak’ menyingkirkan sebagai presiden Bersatu.

“Dan beliau buat semua ini dengan satu tandatangan,” kata bekas menteri pembangunan usahawan dan menteri tugas-tugas khas itu kepada FMT.

Redzuan turut menolak sindiran pihak tertentu dalam PAS, termasuk ketua penerangan dan Pemuda parti itu bahawa peletakan jawatan Muhyiddin satu pertaruhan yang dibuat tanpa memahami kesannya terhadap sokongan rakyat kepada PN.

Sebaliknya, beliau berkata, peletakan jawatan itu membolehkan Muhyiddin memfokuskan usahanya untuk memperkukuhkan Bersatu.

“Dengan berundur, beliau mengalihkan sepenuhnya beban menerajui PN kepada kepimpinan PAS,” kata bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu.

Beliau berkata, tugas menarik sokongan pengundi bukan Melayu pada PRU16 kini terletak di bahu PAS sepenuhnya.

“Jika gagal, PAS dan PN akan terus menjadi pembangkang untuk satu penggal lagi.

“PAS sudah menyuarakan kesediaannya memikul tanggungjawab itu, tetapi tanpa pengganti yang dinamakan untuk menerajui PN, keupayaannya meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk menyokong PN diragui.”

Kenyataan Redzuan juga senada kebimbangan disuarakan P Ramasamy daripada Urimai, yang berhujah tanpa tokoh seperti Muhyiddin dan Azmin Ali, yang turut melepaskan jawatan setiausaha agung PN, gabungan itu akan berdepan kesukaran mengekalkan hubungan dengan pengundi bukan Melayu.

Ramasamy dilaporkan berkata, pengundi bukan Melayu kurang selesa dengan pandangan konservatif PAS dan lebih selesa dengan pemimpin “sederhana” dalam gabungan pembangkang itu.

Redzuan berkata, kemelut politik di Perlis mendedahkan perpecahan dalaman PN yang perlu diselesaikan PAS tanpa “sentuhan penstabil” Muhyiddin.

Semalam, Muhyiddin yang melepaskan jawatannya berkuat kuasa 1 Jan lalu, mempertahankan keputusannya berundur sebagai pengerusi PN.

Bekas perdana menteri itu dalam perutusan Tahun Baharu kepada ahli parti berkata, beliau masih menerajui Bersatu sebagai presiden dan fokus memastikan ahli parti merapatkan barisan serta mengukuhkan kerjasama.

Beliau juga berikrar Bersatu akan kekal sebagai rakan setia dalam PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.