
Hamzah dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dibelenggu kemelut perebutan kuasa selama berbulan-bulan. Konflik itu memuncak dengan pemecatan Hamzah dan 16 pemimpin lain Jumaat lalu.
Bercakap kepada FMT, Hisomudin Bakar dari Ilham Centre berkata penyingkiran Hamzah secara efektif membawa kepada penyusunan semula hierarki kepimpinan Bersatu.
“Daripada perspektif ini, laluan Azmin menuju kepimpinan tertinggi parti kelihatan lebih teratur, memandangkan tidak lagi berdepan dengan halangan besar seperti sebelumnya,” katanya mengenai setiausaha agung Bersatu itu.

Sepanjang tahun lalu, Azmin menampilkan dirinya sebagai figura setia dan berdisiplin, serta konsisten mempertahankan kepimpinan Muhyiddin di tengah-tengah keretakan yang semakin meruncing antara presiden dan timbalannya.
Hisomudin berkata, kesetiaan dan kesabaran adalah faktor penentu utama bagi kelangsungan politik.
Beliau menarik perhatian mengenai pendekatan Azmin yang tidak berkonfrontasi serta sokongan berterusan terhadap kepimpinan menunjukkan bekas menteri besar Selangor itu memahami struktur kuasa dan budaya politik Bersatu.
Menurut Hisomudin, Azmin secara meluas dianggap sebagai seorang berdisiplin dan berhati-hati dalam penyampaian mesej awamnya.
Katanya, sifat berkenaan mampu memastikan sebarang peralihan kuasa antara beliau dan Muhyiddin berlaku dalam keadaan stabil dan terkawal, ketika parti sedang membuat persediaan berdepan PRU akan datang.
“Tiada tekanan untuk segera melakukan sebarang perubahan jika Muhyiddin selaku presiden Bersatu berhasrat menerajui parti dalam PRU akan datang, yang dipercayai ramai bakal menjadi pertandingan terakhirnya sebagai presiden parti.
“Azmin berkemungkinan besar sedang mengejar strategi jangka panjang dan menunggu peralihan yang teratur serta bermaruah,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan, Muhyiddin tidak mungkin melepaskan jawatan presiden dalam masa terdekat, walaupun terdapat tanda-tanda pengaruhnya dalam parti mungkin semakin merosot.
Beliau berkata, Hamzah dijangka bergantung kepada sokongan PAS, manakala Muhyiddin terus mengharapkan sokongan parti komponen PN seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Muhyiddin mahu kekal sebagai presiden Bersatu kerana beliau juga mahu dipilih semula sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN). Jawatan itu sangat penting untuk mengekalkan kawalan terhadap gabungan berkenaan,” kata Azmi.
“Muhyiddin tahu jika beliau berundur selepas kemelut di Perlis pada Disember lalu, PAS akan mendesak calon mereka sendiri — yang mana tidak akan diterima MIPP dan Gerakan. Itulah sebabnya beliau percaya masih mempunyai jalan untuk kembali sebagai pengerusi PN.”

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya memberi amaran mengenai majoriti Ahli Parlimen Bersatu dikatakan menyokong Hamzah, antara lain membawa bayangan Azmin akan menerajui satu ‘parti yang lemah’ jika beliau mengambil alih kepimpinan tertinggi.
“Pembersihan dalaman sahaja tidak cukup,” katanya merujuk amaran terbaru Azmin kepada ahli supaya tidak menghadiri mesyuarat atau perhimpunan dianjurkan mereka yang dipecat lembaga disiplin.