Abu Bakar perlu mesra PAS untuk mudahkan pentadbiran

Abu Bakar perlu mesra PAS untuk mudahkan pentadbiran

PAS dengan jumlah Adun paling ramai boleh menyukarkan pentadbiran Abu Bakar, misalnya hal yang memerlukan sokongan majoriti di DUN seperti penggubalan enakmen.

Abu Bakar Hamzah
Penganalisis menjangkakan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah akan ambil kira pandangan PAS sebelum laksana sebarang dasar walaupun parti itu tidak sertai exco. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri besar baharu Perlis, Abu Bakar Hamzah, perlu mesra PAS dan mengelakkan kontrontasi untuk memudahkan pentadbiran, menurut penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PAS yang memiliki jumlah Adun paling ramai boleh menyukarkan pentadbiran Abu Bakar, misalnya hal yang memerlukan sokongan majoriti di DUN seperti penggubalan enakmen.

Kedudukan semasa di DUN adalah PAS menduduki enam kerusi, berbanding lima wakil rakyat Bersatu dan satu Pakatan Harapan, selain DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang kosong.

“Jika menteri besar tidak mendapat sokongan PAS, sukar untuk meluluskan dasar atau enakmen,” katanya kepada FMT, dan menambah pendekatan yang adil terutama dari segi peruntukan akan menjadikan keadaan politik di Perlis lebih harmoni.

Pandangan ini menyusuli kemelut politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu. Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 28 Dis.

Pada 30 Dis, PAS mengumumkan semua ahlinya yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan melepaskan jawatan, dan tidak akan menganggotai majlis yang dibentuk Abu, sebagai tanda solidariti kepada menteri besar dahulu, Shukri Ramli.

Meskipun PAS mengisytiharkan ia komited meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam kerajaan Perlis, penganalisis berkata hakikatnya “PAS berada dalam situasi boleh menggugat menteri besar sekarang”.

“Saya fikir PAS tak begitu berani berbuat demikian kerana mereka perlu fikirkan kedudukan politik antara PAS-Bersatu sekarang, dan ia antara perkara diperimbangkan sehingga PRU16. PAS juga akan menimbang nasihat Raja Perlis supaya Perlis kembali aman,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, menjangkakan Abu Bakar akan mengambil kira pandangan PAS sebelum melaksanakan sebarang dasar walaupun parti itu tidak menyertai exco, untuk bertahan lama.

“Kerajaan minoriti, walaupun di peringkat negeri, biasanya tidak bertahan lama,” katanya.

Abu Bakar mengumumkan senarai nama calon ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baharu akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada minggu depan.

Nama calon exco terdiri daripada empat Adun Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.