Agong bida RM1.75 juta untuk nombor plat ‘FFF 1’

Agong bida RM1.75 juta untuk nombor plat ‘FFF 1’

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berharap hasil bidaan itu akan digunakan Putrajaya untuk membantu rakyat.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menyampaikan nombor pendaftaran kenderaan ‘FFF 1’ kepada Sultan Ibrahim di Istana Negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Nombor pendaftaran kenderaan “FFF 1” menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan bidaan RM1.75 juta.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menyampaikan nombor pendaftaran itu kepada Sultan Ibrahim ketika menghadap baginda di Istana Negara.

Sultan Ibrahim dalam hantaran Facebook berharap hasil bidaan itu akan digunakan Putrajaya untuk membantu rakyat.

Pembidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan “FFF” berlangsung dari 11 hingga 15 Mei lalu sempena sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan ke-78.

Terdahulu, Loke dilaporkan berkata, bidaan itu bertujuan menjana dana tambahan untuk inisiatif seperti pengagihan topi keledar percuma, caruman Perkeso tambahan untuk 40,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, tajaan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan B2 buat golongan B40.

Sultan Ibrahim yang terkenal dengan minatnya terhadap kereta klasik dan koleksi, pernah membeli nombor pendaftaran kenderaan unik, termasuk “FF 1” bernilai RM1.2 juta pada Jun 2023 dan “GOLD 1” dengan nilai RM1.5 juta pada Februari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.