Pengusaha trak tunda serah memorandum bantuan subsidi diesel

Pengusaha trak tunda serah memorandum bantuan subsidi diesel

Wakil Gabungan Trak Tunda Semenanjung Malaysia berkata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh akan meminta pertimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

trucker
Pengusaha trak tunda berhimpun secara aman untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan itu disenaraikan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Lebih 200 pengusaha trak tunda berhimpun untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan itu di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membolehkan mereka mendapat kad fleet.

Menerusi kad berkenaan mereka boleh membeli bahan bakar itu pada harga RM2.15 seliter, lebih murah berbanding kadar runcit RM3.35 seliter ditetapkan sejak 10 Jun lalu.

Tuntutan itu diserahkan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Jurucakap Gabungan Trak Tunda Semenanjung Malaysia Joe Prakash ketika ditemui berkata Fuziah memberi jaminan akan membawa tuntutan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan.

“Bila jumpa barulah timbalan menteri faham situasi sebenar dihadapi kami, terpaksa keluar modal dahulu untuk isi minyak untuk bergerak.

“Jadi kami rayu berilah kami peluang beli diesel pada harga subsidi, kalau tak bantu harga insurans kenderaan mungkin lebih mahal kerana kos tunda kereta semakin tinggi,” katanya ditemui selepas menyerahkan tuntutan berkenaan.

Sementara itu, pemandu trak tunda Ahmad zikry Fazli berkata ketiadaan bantuan subsidi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan caj iaitu RM150 untuk jarak sehingga 10 km berbanding RM100 sebelum ini.

“Kita tak ada pilihan kena naikkan caj sebab diesel dah mahal,” katanya mendakwa ada trak tersadai kerana tidak lagi mampu mengisi bahan bakar berkenaan.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata syor mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

Ketika ini, 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah ‘fleet card’ bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.