Format baharu anggota pentadbiran isytihar harta diperhalusi

Format baharu anggota pentadbiran isytihar harta diperhalusi

Menteri Azalina Othman Said berkata ia diperhalusi dengan input daripada agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, dan Jabatan Peguam Negara.

azalina
Menteri Azalina Othman Said berkata format baharu pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
Format baharu berkaitan pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional pada 8 Jan lalu bersetuju cadangan penambahbaikan format tersebut dibawa ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.

“Format baharu tersebut kini sedang diperhalusi dengan mengambil kira input dan pandangan dari agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sebelum ia dapat dimuktamadkan.

“Ia dijangka akan dibentang di mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoalkan kekangan dihadapi kerajaan kerana masih belum menguatkuasakan dasar yang mewajibkan pengisytiharan harta dan aset bagi anggota pentadbiran persekutuan.

Azalina pada Mac dilapor berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai tahun lalu bersetuju supaya format pengisytiharan harta baharu yang lebih komprehensif disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah penambahbaikan.

Ia susulan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 17 yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju supaya semua anggota pentadbiran mengisytiharkan harta dilaksanakan semula.

Menurutnya, format pengisytiharan harta sedia ada hendaklah ditambah baik supaya maklumat yang diberikan adalah tepat dan telus sebelum pengisytiharan harta dilaksanakan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.