Penganggur didakwa sokong, miliki bahan berkaitan IS

Penganggur didakwa sokong, miliki bahan berkaitan IS

Hasbullah Hassan, 45, didakwa mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi media sosial Facebook menggunakan akaun bernama Hasbullah Hassan.

Hasbullah Hassan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat hari ini atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas IS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas IS.

Bernama melaporkan Hasbullah Hassan, 45, mengangguk faham di depan Hakim Rahimah Abd Majid, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada IS dengan mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi Facebook menggunakan akaun “Hasbullah Hassan”.

Perbuatan itu dikesan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 9 pagi 23 Mac 2023.

Hasbullah turut didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video, gambar dan barangan mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas IS. Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat pada 12.30 tengah hari 30 Mei lepas.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan hakim menetapkan sebutan semula kes pada 24 Julai ini bagi penyerahan laporan pakar.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja restoran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku ahli kumpulan pengganas IS.

Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, 35, mengangguk faham di depan Hakim Fadzlin Suraya Mohd Suah, tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada IS menggunakan Facebook atas nama “Ibn Nuhas” dan Telegram atas nama “Wilayah Maliziyah” (bahasa Arab) di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 4.50 petang 31 Mei lalu.

Lelaki itu turut didakwa memiliki artikel dan video berkaitan IS di lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan kerana mengaku ahli IS dengan melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin IS, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras, Batu 4, pada 10.08 pagi bulan lalu.

Hakim menetapkan sebutan kes pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen seperti dimohon Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab Manaff bagi menyerahkan laporan pakar berhubung barangan berkaitan IS kepada mahkamah.

Sementara itu, Kosmo melaporkan tiga individu termasuk sepasang suami isteri didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan IS bulan lalu.

Muhammad Feesol Haron, 35, dan Suhaini Sarwan, 46, serta Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan berkaitan IS serta perbuatan pengganas dalam telefon bimbit mereka di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas kira-kira 1.10 serta 1.15 tengah hari 30 Mei lalu.

Firdaus pula didakwa melakukan kesalahan sama di depan sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 6, Taman Perniagaan Setia kira-kira 6.15 petang hari sama.

Suhaini turut berdepan dua lagi pertuduhan, iaitu memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun Facebook atas nama “Suhaini Sarwan” dan “Enma Kenma” di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 5.50 petang 27 Mei lalu.

Hakim menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.