
Presiden Mohamad Sabu berkata setiap jentera parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) diberi tugas dan lokasi khusus, sepertimana diarahkan oleh kepimpinan kerajaan perpaduan.
“Kami bertumpu di kawasan Sungai Duri. Di sana ramai pengundi yang majoritinya adalah Melayu,” katanya ketika ditemui pada program Jom Masak Menu Sihat Citarasa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Tasek Cempedak.
Mohamad mengulas persoalan mengapa Amanah dilihat tidak bersama parti komponen lain sepanjang kempen PRK yang memasuki hari kelima hari ini.
Beliau berkata program kempen partinya berjalan lancar dengan tumpuan masa ini pada lawatan rumah ke rumah, ceramah kelompok serta khidmat masyarakat.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin, dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), yang diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lepas.
Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.