Mengapa diam kenyataan Firdaus Wong berkait budak peluk Islam, Hassan tanya Suhakam

Mengapa diam kenyataan Firdaus Wong berkait budak peluk Islam, Hassan tanya Suhakam

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata Suhakam dilihat lebih banyak berdiam diri berhubung isu diskriminasi kaum dan kebebasan beragama.

hassan
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata Suhakam perlu bertanggungjawab dalam menyuarakan isu-isu hak asasi manusia dan tidak menjadi alat politik.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak bersuara berhubung isu pendakwah bebas, Firdaus Wong yang dilapor memberi nasihat mengenai cara menangani permintaan remaja yang mahu memeluk Islam secara rahsia.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, selain isu pendakwah bebas itu, Suhakam juga dilihat lebih banyak berdiam diri dan tidak menyatakan pendirian berhubung isu-isu diskriminasi kaum dan kebebasan beragama di negara.

“Mengapa tidak ada respon daripada Suhakam dalam perkara ini (isu Firdaus Wong).

“Suhakam tentu lebih maklum dan memahami kebebasan agama adalah hak universal bagi semua rakyat sama ada muslim dan bukan muslim,” katanya ketika membahaskan laporan tahunan dan penyata kewangan Suhakam 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat.

Hassan berkata Suhakam perlu bertanggungjawab dalam menyuarakan isu-isu hak asasi manusia dan tidak menjadi alat politik.

“Banyak laporan polis dibuat atas tindakan (Firdaus) melakukan penukaran agama kanak-kanak bukan muslim kepada Islam tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

“Saya seorang Islam memandang perkara ini dengan serius demi keharmonian negara kita.

“Tindakan individu ini timbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat bukan muslim di Malaysia,” katanya.

Semalam, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Firdaus susulan tular video yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar berkata, setakat ini empat laporan polis sudah diterima dan tiga individu sudah dirakam percakapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.