Urimai boleh jadi rakan PN, bukan komponen, kata Tuan Ibrahim

Urimai boleh jadi rakan PN, bukan komponen, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata gabungan itu baru menerima MIPP sebagai parti komponen baharu dan usaha pemantapan masih perlu dilakukan.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesediaan banyak parti menyertai PN termasuk Urimai diketuai P Ramasamy memberi gambaran positif kepada masa depan gabungan itu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan PAS berpendapat tiada keperluan untuk Perikatan Nasional (PN) menerima Urimai menjadi sebahagian komponennya memandangkan mereka baru menerima keahlian Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti diketuai bekas pemimpin DAP P Ramasamy yang juga memperjuangkan komuniti India itu boleh menjadi sebahagian ‘rakan kerjasama’ gabungan itu.

Beliau berpendapat, kerjasama dalam kalangan gabungan sedia ada perlu dimantapkan termasuk dengan MIPP yang peranan utamanya menarik pengundi India untuk membantu meningkatkan peluang memenangi pilihan raya pada masa depan.

Selain MIPP, PN turut bergantung kepada Gerakan, sayap Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) untuk meraih sokongan pengundi India.

“Kita cadang Urimai boleh jadi rakan kepada PN,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT sambil menyatakan sebarang permohonan menyertai gabungan itu akan dibincangkan pucuk pimpinan.

“Banyak parti berminat menyertai PN, ini gambaran positif dan keyakinan kepada masa depan kami.”

Semalam, Ramasamy berkata parti itu sudi mempertimbangkan menyertai PN jika gabungan berkenaan sedia memperjuangkan nasib orang bukan Melayu.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Urimai sedia bekerjasama dengan gabungan politik selain Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Ramasamy tidak menghuraikan isu berkaitan orang bukan Melayu yang PN boleh perjuangkan.

Urimai ditubuhkan pada November 2023 dan sedang menanti kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ramasamy yang menyertai DAP pada 2005 keluar parti itu selepas tidak dicalonkan untuk mempertahankan DUN Perai pada PRN Ogos lalu.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu, Urimai menggiatkan kempen yang mengajak pengundinya tidak mengundi PH kerana mendakwa pelbagai janji tidak ditunai kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.