Bersatu cadang guna lambang PN di Nenggiri

Bersatu cadang guna lambang PN di Nenggiri

Ketua Penerangan Razali Idris berkata rakyat sudah kenal komponen Perikatan Nasional.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata percubaan guna lambang PN boleh dimulakan pada PRK Nenggiri.
PETALING JAYA:
Tiba masa lambang Perikatan Nasional (PN) digunakan bermula dengan PRK Nenggiri, menurut Bersatu.

Ketua Penerangan Razali Idris, berkata penggunaan lambang itu wajar dipertimbang memandangkan rakyat sudah mengenali komponen PN.

Katanya, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat majlis presiden PN.

“Kita mencadangkan supaya majlis presiden membenarkan penggunaan logo PN pada PRK Nenggiri yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 17 Ogos depan.

“Kita hanya mencadangkan tetapi keputusan penuh penggunaan logo akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN,” katanya lapor Berita Harian.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Amar Abdullah, pada 19 Jun mengumumkan kekosongan kerusi susulan Azizi Abu Naim terhenti keahlian Bersatu.

Mengulas tentang calon bagi PRK Nenggiri, Razali berkata Bersatu Kelantan menghantar tiga nama untuk dipertimbang pucuk pimpinan parti, sebelum dikemukakan kepada majlis presiden PN.

“Kita akan umumkan calon yang sudah melalui proses tapisan sebelum hari penamaan calon seperti ditetapkan SPR pada 3 Ogos depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.