
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman berkata kenyataan Ahmad itu yang juga Ahli Parlimen Pontian dilihat sebagai politik balas dendam dan tidak mengambil kira keperluan rakyat.
Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, kerajaan Anwar Ibrahim sepatutnya memberikan layanan sama rata kepada pembangkang seperti pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan Johor pimpinan Onn Hafiz Ghazi ketika ini.
“Mereka sedang menghukum rakyat tak bersalah yang perlukan bantuan kebajikan, susu, lampin pakai buang, bakul makanan, komputer riba dan tablet…ini dibuat hanya kerana politik balas dendam.
“Nasihat saya berikan layanan sama kepada pembangkang, kamu juga akan dilayan begitu apabila berada di kerusi pembangkang pada masa depan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahmad mencadangkan Ahli Parlimen pembangkang diperuntuk RM100,000 yang ditetapkan syarat penggunaannya.
Menurutnya, mekanisme dan jumlah itu sama ketika beliau berada di blok pembangkang semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan kepada Ahli Parlimen bukan diberikan secara khusus kepada wakil rakyat itu, sebaliknya untuk pembangunan kawasan berkenaan.
Menurutnya, peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya adalah bagi kawasan Parlimen dan tidak ada dikatakan spesifik untuk wakilnya.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata cadangan Ahmad itu hanya akan menghancurkan kredibilitinya dan BN kerana rakyat ketika ini mahukan politik berasaskan keadilan.
“Kalau diterima (perdana menteri) Anwar Ibrahim maka betapa hipokritnya reformasi dan manifesto yang ‘dicapati’ Anwar dan PH kerana bersekongkol dengan Barisan Nasional yang anti reform,” katanya,
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula secara sinis berkata cadangan dikemukakan itu cukup ‘bernas’
“Padanlah beliau (Ahmad) tak dilantik jadi menteri penuh, asyik duduk di kerusi timbalan menteri dari dulu sampai sekarang,” sindirnya.