
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ini kerana kedua-dua akta berkenaan sama sekali berbeza dari sudut teknikal dan pelaksanaan perundangan.
“Pindaan Akta 709 ini lebih kepada jaminan untuk memastikan data peribadi yang disimpan itu selamat. Sekiranya berlaku insiden kebocoran atau penggodaman, maka di situ kita perlu letak peruntukan undang-undang yang memerlukan secara mandatori untuk pihak berkepentingan memberikan notis tentang perkara itu.
“Manakala akta baharu yang ingin diwujudkan lebih terarah kepada membasmi penipuan dalam talian yang berlaku terhadap mana-mana individu. Jadi, kita dapat lihat ia berbeza dari sudut perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam sempena sambutan 150 tahun Bandar Warisan Taiping anjuran Pertubuhan Sri Guru Singh Sabha.
Khamis lepas, Gobind dalam kenyataan berkata Jemaah Menteri meluluskan cadangan pindaan Akta 709 yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi selaras piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang global.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilapor berkata kerajaan sedang merangka akta baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’ untuk meningkatkan tahap keselamatan digital.
Dalam pada itu, Gobind berkata pelaksanaan Akta 709 akan diselaras dan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Kementerian Digital manakala akta yang bakal diwujudkan pula merentasi kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri.
Pindaan Akta 709 katanya bukan sahaja memberikan kemudahan malah ia dilihat berpotensi untuk meningkatkan taraf perniagaan serta kehidupan seharian rakyat.