Jangan letak syarat hidupkan MN, veteran Umno beritahu PAS

Jangan letak syarat hidupkan MN, veteran Umno beritahu PAS

Yussof Latiff berkata, kerjasama Umno-PAS berakhir kerana PAS meletakkan syarat tidak boleh diterima Umno, termasuk menerima Bersatu.

yussof latiff
Veteran Umno, Yussof Latiff berkata, jika PAS meletakkan syarat untuk Umno, maka ia juga perlu menerima Amanah.
PETALING JAYA:
Seorang veteran Umno berkata, kerjasama parti itu dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) boleh dihidupkan semula jika PAS tidak meletakkan syarat untuk Umno menerima Bersatu dalam gabungan itu.

Yussof Latiff berkata, kerjasama Umno dan PAS melalui MN berakhir disebabkan parti itu meletakkan syarat tidak boleh diterima Umno.

“PAS pun kena muhasabah diri. Kalau dia buat syarat kepada Umno dalam MN, PAS pun kena terima parti Amanah. Jadi, kalau PAS sendiri tidak dapat terima, jangan letak syarat kepada Umno.

“PAS letak syarat yang ‘berat sebelah’ kepada Umno agar terima Bersatu, tetapi mereka sendiri tidak mahu (terima) Amanah. Jadi, mana boleh kita terima syarat berat sebelah ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Amanah, parti serpihan PAS, bekerjasama dengan Umno di bawah kerajaan perpaduan. Dua parti itu berselisih faham walaupun berkongsi ideologi politik dan agama sama.

MN dibubarkan kerana Umno enggan menerima Bersatu dalam gabungan itu. PAS kemudian membentuk Perikatan Nasional bersama Bersatu.

Awal bulan ini, bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar yang baru menyertai Bersatu menggesa Umno dan Bersatu meneroka cara bekerjasama dan menghidupkan semula MN dengan PAS.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi bagaimanapun menolak tanggapan itu dengan berkata, Bersatu ditubuhkan dengan matlamat menghapuskan Umno.

Isnin lalu, bekas bendahari Umno, Salleh Said Keruak turut menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan Bersatu kerana dua parti Melayu-Islam itu tidak boleh wujud bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.