
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, BN berkata kenyataan palsu seperti itu adalah mainan politik untuk memecah-belah perpaduan dalam kerajaan sekarang.
Menurut parti gabungan itu, semua kenyataan media hanya akan disiarkan di laman Facebook rasmi BN.
“Diharap semua tidak termakan dengan mainan politik seperti ini tiap kali apabila pilihan raya akan berlangsung. Semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti ini lagi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan palsu bertarikh 24 Julai menggunakan nama Pengerusi BN Zahid Hamidi itu menyenaraikan nama empat individu yang kononnya tidak dibenarkan tampil di PRK Nenggiri kerana mengambil iktibar kekalahan di PRK Sungai Bakap.
Selain Rafizi, tiga nama lain ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Jeli Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala hari mengundi ditetapkan pada 17 Ogos.