Pemimpin Amanah dakwa hubungan dengan Umno dingin di Hulu Selangor

Pemimpin Amanah dakwa hubungan dengan Umno dingin di Hulu Selangor

Pemimpin Amanah Hulu Selangor Mohammad Syafiq Musa dakwa hubungan dengan Umno renggang sejak kontroversi pertukaran jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam.

Amanah
Amanah mendakwa tiada perbincangan dibuat bagi menggantikan jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam dipegang parti itu sebelum ini. (Gambar Amanah Hulu Selangor)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah Hulu Selangor mendakwa hubungan parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dingin selepas pertukaran jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam didakwa secara mengejut, Mei lalu.

Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim menggantikan Roslin Md Zin dari Amanah sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Naib Ketua Amanah Hulu Selangor Mohammad Syafiq Musa berkata sejak kontroversi itu tiada perbincangan rasmi dibuat dengan Umno untuk melancarkan gerak kerja terutama dalam merampas semula DUN Hulu Bernam dari Perikatan Nasional (PN).

“Ikut persetujuan asal parti bertanding pada PRN harus diberi jawatan penyelaras tetapi diberi pula kepada Umno tanpa sebarang perbincangan.

“Boleh dikatakan hubungan kita sekarang dingin dan renggang, tiada lagi pertemuan rasmi,” katanya kepada FMT.

“Kalau gagal diselesaikan, mungkin hubungan Umno dan Amanah boleh bermasalah menuju perpecahan.”

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Abbas Azmi berkata pihaknya berpegang tuntutan supaya Menteri Besar Amirudin Shari menggantikannya dengan jawatan penyelaras DUN Batang Kali, dipegang PKR kini.

Jawatan itu disandang Pengarah Strategi PKR Selangor Saifuddin Shafi Muhammad yang juga setiausaha politik Amirudin.

“Kita memang nak penyelaras Hulu Bernam atau ganti dengan Batang Kali, sekarang masih tunggu keputusan pimpinan PH-BN dalam kerajaan perpaduan Selangor.

“Sementara itu Amanah Hulu Selangor tetap berkhidmat dan jalan aktiviti seperti biasa…kalau dilantik dapat tambah nilai kerja,” katanya.

DUN Hulu Bernam pernah menjadi kubu kuat Umno namun dirampas PN menerusi Mu’izzudden Mahyuddin yang menewaskan calon PH dari Amanah Mohd Amran Mohd Sakir dengan majoriti 669 undi pada PRN Ogos tahun lalu.

Umno tidak mempertahankan kerusi itu susulan langkah penyelarasan berdasarkan keadaan politik semasa, dipercayai merujuk kepada kerjasama BN-PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.