Lari pemeriksaan polis, lelaki ditemui mati

Lari pemeriksaan polis, lelaki ditemui mati

Mangsa meloloskan diri dalam Op Tapis Bahagian Narkotik IPD Gerik pada Khamis lepas sebelum mayatnya ditemui di Sungai Perak petang semalam.

Zulkifli Mahmood
Menurut Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood , kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis ditemui mati di Sungai Perak, dekat Kampung Jagor, Gerik, petang semalam.

Mayat mangsa itu ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 5.40 petang oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood, berkata mayat mangsa berjaya dibawa ke jeti kampung terbabit hasil operasi dijalankan bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa adalah individu sama yang meloloskan diri dalam Op Tapis dijalankan Bahagian Narkotik IPD Gerik pada Khamis lepas.

“Semasa operasi dijalankan berhampiran Titi Batu 6 Bersia itu, mangsa telah melarikan diri ke arah sungai dan tidak dapat dikesan.

“Operasi mencari telah dijalankan sehinggalah mangsa dijumpai semalam (Sabtu),” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Zulkifli berkata berdasarkan bedah siasat ke atas mangsa yang dijalankan di Hospital Gerik, punca kematiannya tidak dapat dipastikan berikutan keadaan mayat telah reput.

Namun katanya polis mengesahkan kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.