Treler rempuh rumah, seorang lagi mangsa maut

Treler rempuh rumah, seorang lagi mangsa maut

Mohd Waldon Faris Nasruddin meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pekan, menjadikan korban tragedi itu meningkat kepada dua orang.

Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian rempuhan sebuah treler ke atas sebuah rumah, di Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada awal pagi tadi meningkat kepada dua orang. (Gambar PDRM)
KUANTAN:
Seorang lagi maut dalam insiden sebuah lori merempuh rumah di KM5 Jalan Pekan-Rompin, dekat Kampung Ketapang Hilir, awal pagi tadi.

Ketua Polis Pekan, Mohd Zaidi Mat Zain berkata Mohd Waldon Faris Nasruddin, 21, meninggal dunia kira-kira 1.30 tengah hari semasa dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata kakak mangsa Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, yang juga petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Maran sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 4.15 pagi ketika pemandu lori berusia 40 tahun dan membawa muatan siling kapur itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan.

“Ketika di tempat kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan.

Zaidi berkata kemalangan itu turut mengakibatkan ibu bapa mangsa yang berusia 60 dan 54 tahun, seorang lagi penghuni rumah serta pemandu lori terbabit cedera ringan, semuanya kini dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis methamphetamine dan akan direman selepas selesai dirawat bagi siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.