Gabung teknologi kuantum lindungi keselamatan siber jangka panjang

Gabung teknologi kuantum lindungi keselamatan siber jangka panjang

Penggabungan teknologi kuantum juga dapat meningkatkan kemampanan ketenteraan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

adly siber
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari i berucap merasmikan Program Khusus Kesedaran Siber Angkatan Tentera Malaysia (SIBER SIAGA 2024) di KLCC.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan merancang menggabungkan teknologi kuantum dalam strategi pertahanan negara, bertujuan melindungi keselamatan siber negara dalam jangka panjang.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata penggabungan teknologi kuantum juga dapat meningkatkan kemampanan ketenteraan dan keselamatan siber .

“Kementerian komited untuk menanam prinsip dan teknologi itu sendiri ke dalam amalan kerajaan bagi memastikan kemampanan ketenteraan dan strategi keselamatan yang kukuh,” katanya merasmikan Program SIBER SIAGA 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tambahnya, walaupun teknologi kuantum membawa pelbagai kesan namun penggabungannya boleh mentransformasi ekonomi, meningkatkan keselamatan negara dan menambah baik kehidupan rakyat.

Pada masa sama, Adly berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga penting untuk memastikan pembangunan teknologi kuantum, sejajar dengan keutamaan keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi.

“Teknologi kuantum menawarkan potensi transformatif untuk komunikasi dan pengawasan yang selamat, tetapi ia mungkin mengganggu keselamatan global,” katanya.

“Negara-negara, khususnya ASEAN, mesti membangunkan strategi yang mantap, rangka kerja keselamatan yang berdaya tahan dan memupuk kerjasama antarabangsa untuk mengurus peralihan kuasa teknologi kelak.”

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan dokumen kontrak ‘Perolehan Network Convergence’ antara Kementerian Pertahanan, diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Mohd Bakhari Ismail, dan Naib Presiden Perniagaan Kerajaan TM One Mohamed Faizal Naina Mohamed.

SIBER SIAGA 2024 dan pameran Cyber Digital Service Defence and Security Asia 2024 (Cyber DSA 2024) berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos di KLCC.

Program terbuka kepada awam itu mempamerkan produk keselamatan siber daripada 200 syarikat selain sesi interaksi membabitkan 1,000 ahli profesional, 18 universiti tempatan, agensi kerajaan serta warga tentera.

SIBER SIAGA 2024 antara lain diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam memperkasa kawal selia ekosistem pertahanan siber negara supaya sentiasa terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.