
Beliau turut menggesa Khaled menamakan pihak yang bertanggungjawab atas keciciran dalam perolehan peluru berpandu berkenaan.
“Saya mendesak menteri pertahanan tampil memberikan penjelasan terperinci di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta menamakan pihak yang bertanggungjawab.
“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ia melibatkan kredibiliti sistem pertahanan negara dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kementerian Pertahanan mengurus aset strategik negara,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, setelah bertahun-tahun tertangguh dan menelan kos berbilion ringgit, rakyat kini melihat projek LCS bukan lagi sekadar projek bermasalah, tetapi berisiko menjadi simbol kegagalan pengurusan pertahanan negara.
Portal pertahanan Malaysian Defence sebelum ini melaporkan Oslo melarang penghantaran Naval Strike Missile (NSM) kepada negara bukan Nato, sekali gus membatalkan kontrak pembekalan dan penghantaran yang dimeterai pada 2018.
Dalam satu kenyataan semalam, Khaled berkata kerajaan akan berhubung dengan kerajaan Norway untuk mendapatkan penjelasan dan membincangkan langkah sewajarnya.
Projek LCS, yang dilancarkan pada 2011 dengan nilai kontrak awal sekitar RM9 bilion, dibelenggu pelbagai kelewatan, perubahan reka bentuk dan peningkatan kos yang kini melebihi RM11 bilion.
Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut membangkitkan isu salah urus dan pembaziran dalam program tersebut.