
Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia berkata warga tempatan perlu diyakinkan untuk memilih sektor pembinaan pilihan kerjaya, berbanding laluan lain seperti perniagaan dalam talian atau perkhidmatan kiriman dan e-panggilan.
Presiden Tukiman Radion mencadangkan insentif dalam bentuk kerajaan menanggung sekitar 20% daripada gaji untuk menyebabkan bayaran kepada pekerja tempatan ‘lebih sedikit’.
“Jika ada inisiatif memberi kelebihan kepada warga tempatan yang mahu bekerja di sektor pembinaan melalui pemberian insentif – gajinya lebih sedikit – mungkin ramai yang berminat bekerja sebagai buruh binaan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang mahu syarikat pembinaan mengutamakan tenaga mahir tempatan. Menurutnya, kerajaan akan menanggung kerugian untuk jangka panjang sekiranya sektor pembinaan terus bergantung kepada buruh asing.
Menurut Tukiman, kadar upah pekerja buruh binaan warga tempatan tidak mahir adalah sekitar RM100 sehari, berbanding RM80 bagi pekerja warga asing; manakala warga asing mahir upahnya sekitar RM120 hingga RM150 sehari.
“Saya ada mengajak mana-mana kawan tak bekerja ajak bekerja sebagai pekerja binaan. Bukan kerja teruk sangat sekadar mengecat sebagai permulaan tapi mereka tak berminat,” katanya.
Tukiman berkata warga tempatan memilih pekerjaan maka kerajaan harus main peranan proaktif dari segi insentif, peluang, dan kelebihan. “Pekerja asing apa pun kerja dapat dia akan buat tetapi warga tempatan tak mahu.”
“Mereka lebih rela buat e-panggilan, khidmat kiriman, ada yang sanggup tidak bekerja, ada juga yang berniaga dalam talian. Itu pilihan warga tempatan.”
Che Wan Mohd Khalid, seorang pemilik syarikat kontraktor, berkata aspek kebajikan harus ditekankan apabila berurusan dengan orang tempatan.
“Jangan lewat bayar gaji. Mereka ada tanggungan, anak isteri, mak ayah nak jaga. Begitu juga KWSP dan Perkeso, kena bayar,” katanya, dan menambah beliau beri gaji sama kepada pekerjanya.
“Mana boleh berbeza-beza. Sebab kita guna tenaga kerja mereka, titik peluh mereka sama sahaja nilainya.”
Che Wan berkata saranan Zahid itu boleh dilaksanakan tetapi latihan perlu diberi kepada pekerja tempatan. “Tinggal lagi mereka nak belajar atau tidak,” katanya.