Kos diesel melambung, kumpulan niaga seru insentif EV

Kos diesel melambung, kumpulan niaga seru insentif EV

Presiden Kebangsaan Persatuan SME Malaysia Chin Chee Seong berkata sektor perniagaan kini sedang merasai beban lonjakan harga diesel dan berminat beralih kepada kenderaan hijau jika ada insentif tersedia.

EV car charging EV Car-Charger-EV Port Station
Kumpulan perniagaan menggesa diberi pelepasan cukai dan infrastruktur pengecasan ditambah sebagai galakan syarikat beralih kepada kenderaan elektrik (EV).
PETALING JAYA:
Lonjakan mendadak harga diesel mencetuskan desakan agar insentif baharu diperkenal bagi memudahkan perniagaan beralih kepada kenderaan hijau.

Dua kumpulan perniagaan dihubungi FMT, berkata pelbagai industri terutama dalam sektor pertanian, pengangkutan dan logistik, sudah mula merasai bebanan.

Presiden Kebangsaan Persatuan SME Malaysia, Chin Chee Seong, menjelaskan impaknya cukup meruncing bagi mereka dalam sektor pertanian, di mana kenderaan diesel digunakan untuk mengangkut hasil tani ke pasaran.

Nada sama turut disuarakan Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Sri Ganesh Michiel, yang menyatakan perniagaan pelancongan juga terjejas teruk.

Beliau berkata, insentif bertepatan mampu menggalakkan pengusaha industri pelancongan beralih daripada van dan bas berkuasa diesel kepada kenderaan elektrik (EV) untuk membawa pelancong.

Konflik berterusan di Timur Tengah dan rantau Teluk telah mengganggu aliran minyak di seluruh dunia, membawa kepada peningkatan harga minyak mentah.

Kumpulan perniagaan merungut bukan sahaja harga bahan api yang lebih tinggi, malah ditambah ketidakpastian menyelubungi rantaian bekalan, mula menjejaskan keuntungan mereka.

Di Malaysia, harga diesel di pam meningkat daripada RM2.80 kepada RM6.72 dalam tempoh enam minggu.

Chin berkata, ketidaktentuan itu juga menjejaskan keputusan perniagaan. “Kos diesel sangat tinggi ketika ini dengan kami masih tidak pasti sama ada ia akan meningkat lagi,” katanya.

Mengambil contoh sektor pertanian, beliau berkata petani masih bergantung kepada trak pikap untuk mengangkut hasil tani seperti durian ke pasaran.

“Keadaan muka bumi yang mencabar di kawasan ladang menjadikan trak pikap satu keperluan. Ini menyumbang kepada permintaan yang tinggi terhadap trak jenis ini,” katanya.

Chin berkata, warga perniagaan sebenarnya berminat melakukan peralihan kepada kenderaan hijau, sekiranya terdapat insentif disediakan.

Namun, beliau berkata ketidaktentuan global ketika ini berkemungkinan akan mendorong orang ramai mula mempertimbangkan kenderaan hijau. “Kami tidak tahu berapa lama perang ini akan berlarutan, atau jika konflik lain yang akan mengganggu rantaian bekalan akan tercetus di tempat lain,” katanya.

Bagi Chin dan Ganesh, halangan utama kepada penggunaan EV secara meluas adalah kos kenderaan yang tinggi, namun insentif seperti pengecualian sementara cukai jalan dan pengurangan atau pengecualian duti import mampu merangsang permintaan.

Faktor lain yang boleh mengurangkan minat terhadap EV adalah infrastruktur yang masih belum mencukupi. Chin menegaskan, pemasangan lebih banyak stesen pengecasan di seluruh negara akan memberikan dorongan yang amat diperlukan bagi penggunaan EV.

Ganesh bersetuju walaupun kenderaan diesel tidak boleh dihentikan penggunaannya secara menyeluruh, insentif bertepatan boleh mendorong perniagaan beralih arah.

“Belum ada alternatif hijau yang berdaya maju untuk traktor, lori, dan kenderaan berat tertentu, tetapi perniagaan seperti agensi pelancongan yang menggunakan van, bas, dan trak pikap mungkin akan mempertimbangkan untuk melakukan peralihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, ketidaktentuan mengenai perkembangan global sedang mengganggu keputusan perniagaan.

“Kumpulan perniagaan tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya atau berapa lama konflik AS-Iran akan berlarutan. Walaupun kerajaan tidak bersalah dalam hal ini, mereka perlu bertindak segera, termasuk menyediakan subsidi bersasar bagi pengguna kenderaan diesel,” katanya.

Ganesh berkata, selain menawarkan subsidi diesel, kerajaan juga perlu mempercepatkan peralihan kepada alternatif hijau. Antara caranya, adalah menjadikan EV lebih mampu milik.

“Masa ini, EV masih mahal dengan harga sebuah van sampai RM300,000,” katanya.

“Kerajaan sepatutnya mempertimbang mengecualikan sementara cukai jalan dan cukai lain bagi menurunkan harga serta menggalakkan peralihan kepada kenderaan hijau,” kata Ganesh.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia, Tony Khor, memberitahu FMT bahawa kebimbangan mengenai kenaikan kos diesel, ketidaktentuan subsidi, perbelanjaan operasi jangka panjang, dan nilai jualan semula trak pikap yang rendah kini sedang mengubah tingkah laku pengguna.

“Bagaimanapun, bagi jangka masa panjang, kami menjangkakan kepelbagaian akan berlaku secara beransur-ansur ke arah kenderaan petrol yang cekap bahan api, hibrid, dan akhirnya kenderaan elektrik, bergantung kesediaan infrastruktur dan hala tuju dasar,” katanya.

Beliau berkata, peralihan itu akan berlaku secara berperingkat dan bukannya serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.